25 Januari 2015

‘MAT NOVEL’ BUKAN LELAKI LEMBUT !

Assalamualaikum...

Bila disebut novel, terlintas dalam kalangan masyarakat adalah, wanita. Hal ini adalah kerana, wanita itu gemar membaca dan jiwanya lembut. Maka, novel adalah pilihan untuk wanita terutamanya bagi anak gadis remaja.

Dengan lambakan novel-novel cinta di pasaran dan kedai buku, pastinya rak-rak novel cinta akan dipenuhi oleh kaum Hawa untuk memilih novel-novel yang mempunyai jalan cerita yang menarik.

Meskipun dengan kewujudan novel Fixi, iaitu novel yang bersifat bebas dan animasi, namun, novel cinta, tetap menjadi pilihan pembaca terutamanya wanita. Namun, bagaimana pula sebaliknya?

Adakah wujud pembaca novel cinta terdiri daripada kaum Adam? Adakah kaum Adam yang meminati novel cinta ini lelaki lembut? Atau adakah kaum yang terkenal sebagai sifat berani dan ganas ini sebenarnya mat jiwang?

Seperti yang sedia maklum, lambakan novel-novel cinta di pasaran adalah untuk memenuhi permintaan peminat-peminat novel tanpa mengira jantina, bangsa dan agama. Malah, ada novelis ini membuat sekuel kepada novel mereka seperti Ombak Rindu, Lagenda Budak Setan, Biar YM Berbicara, The Wedding Breaker dan sebagainya.

Dan, meskipun ramai yang beranggapan bahawa novelis cinta ini kebanyakannya adalah wanita kerana mempunyai jiwa yang lembut, namun, tanggapan itu dapat ditangkis dengan adanya novelis lelaki yang popular iaitu, Ahadiat Akashah.

Persoalan yang boleh ditimbulkan disini, adakah wujud golongan lelaki yang meminati novel cinta? Adakah mereka mempunyai taman dalam hati?

Jika di kedai buku seperti MPH dan Popular, pasti akan terlihat beberapa orang lelaki akan mengunjungi bahagian novel cinta berbanding bahagian novel Fixi mahupun majalah yang bercirikan maskulin.

Namun, golongan ini akan cuba untuk ‘mengecilkan’ diri supaya tidak dilihat oleh rakan-rakan mahupun masyarakat keliling.

Ada golongan pembeli novel lelaki ini sanggup menghabiskan masa untuk memilih novel yang benar-benar menarik untuk dibaca. Baik lelaki mahupun wanita, mereka boleh menghabiskan masa selama dua jam dengan berada di rak novel cinta untuk membaca synopsis novel sebelum membuat keputusan untuk membeli.

Pandangan masyarakat bahawa lelaki yang membaca novel cinta ini lebih kepada lelaki lembut ataupun lelaki jiwang perlulah dibuang. Sikap lelaki yang suka membaca seharusnya perlu dipuji walaupun membaca novel cinta.

Ada juga yang beranggapan bahawa ‘mat novel’ ini lebih bersifat feminine dan mungkin juga ‘mat jiwang’. Hal ini membuatkan golongan ini lebih suka memencilkan diri ataupun terpaksa mengenepikan rasa minat untuk membaca novel meskipun minat mereka terhalang.

Kutukan daripada rakan sebaya terutamanya membuatkan mereka terpaksa mengehadkan aktiviti pembacaan novel mereka ataupun mereka akan membaca novel secara rahsia bagi mengelak dikutuk oleh rakan sebaya.

Amat sukar untuk melihat golongan ‘mat novel’ ini membeli novel secara terang-terangan. Jikalau ada, pasti mereka akan ditemani oleh kaum Hawa supaya tembelang mereka membaca novel cinta tidak pecah.

Kaum Adam yang membaca novel cinta ini bukanlah lelaki lembut mahupun ‘mat jiwang’. Sebaliknya, mereka gemar membaca novel kerana minat yang membaca dari dalam diri.
Selain itu, novel yang mempunyai jalan cerita yang menarik akan menarik perhatian kepada pembaca sama ada lelaki mahupun perempuan untuk mengetahui apa cerita yang berlaku. Kadang-kala, sinopsis yang ditulis dibiarkan tergantung untuk menarik minat pembaca untuk membeli novel supaya mereka tahu apa yang sebenarnya terjadi berjaya menarik kaum Adam untuk membeli sebuah novel

Bermula dengan Lagenda Budak Setan 1, adaptasi dari novel ke layar perak juga berjaya menarik minat kaum Adam untuk membaca novel cinta. Kebanyakan yang membeli novel ini adalah untuk mengetahui perbezaan antara novel dan filem ataupun membeli sambungan novel untuk mengetahui apakah yang akan terjadi pada filem yang akan datang.

Adaptasi novel ke filem ini telah memberi pengaruh yang kuat kepada ‘mat novel’ ini untuk membeli novel dan membuatkan mereka semakin berani untuk membaca novel cinta di khalayak ramai.

Meskipun ada yang berpandangan sinis dengan ‘mat novel’ ini, mereka masih meneruskan minat mereka untuk membaca tanpa menghiraukan pandangan rakan sebaya terutamanya lelaki.

Ada juga dalam kalangan ‘mat novel’ ini tidak mempunyai sifat romantik ataupun ‘jiwang’ dalam jiwa mereka, namun, kerana minat membaca, mereka terus membaca.

Malah sebaliknya, kaum Adam yang kononnya bersifat ganas dan berlagak ‘macho’ inilah yang kadangkala di luar jangkaan, iaitu bersifat ‘jiwang’ lebih daripada ‘mat novel’.

Seharusnya, minat untuk membaca novel tidak seharusnya dipertikaikan walaupun pembacanya adalah lelaki. Sekiranya perkara ini terus diperkatakan, pastinya, trend perjualan novel akan menurun kerana si lelaki malu untuk membeli dan membaca kerana takut di ejek oleh rakan-rakan.


Novel-novel cinta bukan sahaja boleh dibaca oleh satu golongan sahaja, malah, boleh dibaca oleh semua, baik lelaki mahupun wanita, remaja atau dewasa dan sebagainya. Jadikan amalan membaca ini sebagai satu rutin walaupun sekadar membaca novel cinta. 

Selamat membaca !!

Tiada ulasan:

Jom Usharrrr

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...